Oleh Rudy Syareme Sheriffudin am@hmetro.com.my
GEORGETOWN: “Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah,” itulah yang berlaku ke atas seorang pengedar dadah apabila rumah sewanya di Bayan Lepas, dekat sini yang dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu bernilai RM1 juta diserbu, Ahad lalu.Serbuan dilakukan kira-kira jam 2.45 petang hasil maklumat dan intipan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPPK) sejak beberapa minggu.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub berkata, dalam intipan dilakukan pihaknya menjejaki dan menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai pengedar dadah di kawasan pusat bandar ini.Beliau berkata, susulan penangkapan yang dilakukan, pihak polis kemudian menyerbu ke sebuah pangsapuri di Relau, Bayan Lepas yang dipercayai disewa suspek beberapa bulan lalu.
“Berdasarkan siasatan dan pemeriksaan, polis menemui tiga kilogram (kg) dadah jenis syabu, serbuk putih dadah jenis ecstacy seberat 1.5 kg dan beberapa peralatan memproses dadah.
“Turut ditemui beberapa baldi, bungkusan plastik dan tabung uji yang digunakan untuk membuat syabu dan semua barangan ditemui itu dirampas,” katanya.Ayub berkata, suspek duda berasal dari Kedah mempunyai satu rekod jenayah kesalahan penyalahgunaan dadah pada tahun 2000 .Beliau berkata, suspek dipercayai memasarkan dadah untuk pasaran tempatan dan polis masih menyiasat sama ada dia mempunyai rangkaian dengan sindiket lain mahupun antarabangsa.Katanya, suspek kini direman sehingga 10 Januari depan dan siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh digantung mati mandatori.Sementara itu, JSJN Negeri menahan 12,230 orang sepanjang tahun lalu dengan nilai rampasan dadah RM8.7 juta dan jumlah harta disita RM5.2 juta.Polis juga membongkar lima makmal haram digunakan untuk memproses dadah jenis syabu di Island Glades manakala heroin, syabu dan pil Ecstacy di Lebuh Carnavon, Machang Bubuk (syabu), Marina Bay (pil Wy) serta Bayan Lepas (heroin).
Video Silibus KAFA
1 day ago
0 comments:
Post a Comment