Kanak–kanak 3 tahun maut dilanggar ibunya
SUBANG 9 Jun – Seorang bapa tidak menyangka kelakuan ganjil anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun bangun seawal pukul 6 pagi untuk mencium tangannya menjadi petanda buruk bakal menimpa kanak-kanak comel itu.
Nur Umairah Zazeli, maut selepas digilis oleh kereta yang dipandu oleh ibunya sendiri, Norzaida Zainal, 24, di Kampung Melayu Subang, di sini malam kelmarin.
Bapa kanak-kanak itu, Zazeli Che Soh, 32, berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap anak perempuannya itu merupakan petanda dia akan pergi untuk selama-lamanya.
Menceritakan kembali peristiwa itu, dia berkata, ia berlaku sekitar pukul 9.30 malam semasa isteri dan anak perempuannya itu mahu pulang selepas mengunjungi ibu mertuanya di Kampung Melayu Subang.
“Pada hari kejadian, saya baru pulang ke rumah selepas bekerja dan terkejut apabila menerima panggilan kecemasan daripada isteri.
“Saya bergegas ke rumah mertua dengan menaiki motosikal yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, dia terkejut melihat anaknya tersepit di bawah kereta dan terus membawanya ke Hospital Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia di sana.
“Walaupun sedih dengan kejadian tersebut, saya tetap reda dengan ketentuan takdir,” kata Zazeli sebak.
Jenazah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Subang petang semalam.
Salam takziah kepada keluarga ini .Semoga bersabar dengan dugaan yang ALLAH berikan .Setiap yang hidup pasti akan mati....AL FATIHAH...........
0 comments:
Post a Comment